AKTA
PENDIDIKAN 1996
PERATURAN-PERATURAN
PENDIDIKAN
(PERSATUAN
IBU BAPA – GURU) 1998
[Sub
peraturan 7(2)]
PERLEMBAGAAN
PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)
SK MELAYU RAYA, SEGAMAT, JOHOR
Nama dan Alamat
1. Persatuan ini dikenal dengan nama:
PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU, SK MELAYU RAYA
2. Alamat yang didaftarkan bagi Persatuan ini
ialah:
PIBG, SK MELAYU RAYA, 85000 SEGAMAT, JOHOR.
.......................................................................................................................
Tujuan-tujuan Persatuan
3. Tujuan-tujuan Persatuan ialah:
a) untuk mengadakan sesuatu forum dan
perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam
meningkatkan imej Sekolah;
b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah
dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan
mereka;
c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam
Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan
guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki
taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam
Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan
fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran
Fungsi Persatuan
4. Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan
aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan
di perenggan 3, seperti:
a) membantu dalam memajukan perkembangan murid
dan menjaga kebajikan murid;
b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi
menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;
c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan
saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;
d) meningkatkan keceriaan premis Sekolah supya
dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program
pendidikan
Keanggotaan Persatuan
5. Anggota Persatuan terdiri daripada:
a) semua guru di Sekolah;
b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam
Sekolah; dan
c) warganegara Malaysia yang diluluskan
permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan Daerah
atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan
(seperti di Lampiran A); dan
6. Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah
menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.
Jawatankuasa Persatuan
7. Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu
jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG".
Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap
Mesyuarat Agung Tahunan.
8. Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri
daripada warganegara Malaysia sahaja.
9. Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti
berikut:
a) seorang Yang Di-Pertua;
b) seorang Naib Yang Di-Pertua;
c) seorang Setiausaha;
d) seorang Bendahari; dan
e) 10 orang Ahli Jawatankuasa
10. Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai
Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.
11. Guru Besar atau Pengetua tidak boleh
menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat
Persatuan.
12. Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan
9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.
13. Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG di
kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut) yang
tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada
keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.
14. Tertakluk kepada perenggan 13 Perlembagaan
ini dan subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan Pendidikan
(Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai
Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang berkenaan) boleh melantik tidak lebih
daripada 2 orang yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota
Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.
15. Tempoh memegang jawatan dalam Jawatankuasa
PIBG adalah bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung
Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan oleh
pendaftar.
16. Jika berlaku kekosongan jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana anggota biasa
Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota Jawatankuasa
PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
17. Jawatankuasa PIBG hendaklah mengedarkan
kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas tarikh
Mesyuarat Agung Tahunan.
Fungsi Jawatankuasa PIBG
18. Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan
mengatur kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang
menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah dengan dasar umum yang
ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan
1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
a) Yang Di-Pertua
i) Menjadi Pengerusi dalam semua mesyuarat
Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab atas
kesempurnaan perjalanan mesyuarat.
ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah
menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.
iii) Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran
Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh semua
anggota Persatuan.
iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan
Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.
v) Boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG
pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan Guru Besar atau
Pengetua.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran
wang Persatuan.
vii) Memastikan segala aktiviti dan program
Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
viii) Mendapatkan nasihat mengenai pengurusan
Persatuan dari semasa ke semasa daripada Guru Besar atau Pengetua selaku
Penasihat Persatuan.
b) Naib Yang Di-Pertua
i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua
dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.
ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang
Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .
c) Setiausaha
i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan
Persatuan.
ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat
Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan
minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.
iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan
kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan dengannya.
v) Menghantar segala laporan dan aktiviti
Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau Pegawai
Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang
berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran
wang Persatuan, jika perlu.
d) Bendahari
i) Bertanggungjawab mengurus dan mengawal hal
ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira- kira kewangan
yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1 Januari hingga 31 Disember)
hendaklah disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk diaudit.
Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan
Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan
diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar
selepas Mesyuarat berkenaan.
ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan
seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat
Jawatankuasa PIBG.
iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu
jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.
iv) Menerima bagi pihak Persatuan semua derma
atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau lain-lain sumber dan
mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun Persatuan pada
hari yang sama.
v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran
wang Persatuan.
vi) Memastikan tiada berlaku terlebih
pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.
Lain-lain jawatan
19. Penasihat Persatuan
a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah adalah
anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada
Jawatankuasa PIBG dan Persatuan. Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar
atau Pengetua adalah seperti berikut;
i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG,
Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh
mengundi;
ii) mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan
Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan menasihati Persatuan supaya
segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat
Persatuan tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar
negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal
berkaitan dengan pentadbiran sekolah;
iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan
mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota
Persatuan;
iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan
perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan
Persatuan;
v) memberi penjelasan kepada sesuatu isu
mengenai pengurusan dan perjalanan Sekolah dan akademik serta isu-isu yang
berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;
vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan
tujuan dan fungsi Persatuan;
vii) memastikan sumbangan Persatuan yang
diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan tidak
mengandungi sebarang unsur paksaan; dan
viii) menentukan tetamu kehormat dan para
jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan
dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.
b) Juru Audit Dalaman
i) Persatuan hendaklah melantik 2 orang juru
audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi anggota
Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.
ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah
seperti berikut:
aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir
tahun kewangan; dan
ab) menjalankan pengauditan secara berkala
seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Tempat bermesyuarat (jika berlainan dari alamat berdaftar)
20. Mesyuarat Persatuan dan Mesyuarat Agung
Tahunan diadakan di
......SK Melayu Raya, 85000 Segamat................................................
Korum
21. Korum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan
adalah seperti berikut:
a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak
kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan
b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG - hendaklah tidak
kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.
Mesyuarat Agung Tahunan
22. Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada
setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.
23. Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan
sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan
tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua,
sebelum 31 Mac.
24. Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan
diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14
hari sebelum tarikh Mesyuarat.
25. Sekiranya korum untuk mengadakan Mesyuarat
Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan,
Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG hendaklah
mengeluarkan notis bertulis kepada anggota Persatuan memaklumkan tarikh baru
Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.
26. Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah
mengandungi perkara-perkara berikut;
a) ucapan Pengerusi;
b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung
Tahunan yang lalu;
c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;
d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata
Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;
e) membahaskan usul, jika ada;
f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun
berkenaan;
g) pemilihan Juru Audit Dalaman;
h) ucapan penangguhan; dan
i) lain-lain hal.
27. Apa-apa usul bertulis hendaklah disampaikan
kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat
Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis
usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.
28. Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab
memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta menimbang
lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan
pemegang jawatan hendaklah dibuat seperti berikut:
a) anggota yang dicalonkan untuk memegang
jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;
b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai
pencadang dan penyokong; dan
c) pemilihan hendaklah dijalankan secara undian
bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undi terbanyak dipilih
menjawat jawatan yang dipertandingkan.
Mesyuarat Agung Tergempar
29. Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan
dalam keadaan-keadaan berikut:
a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa
PIBG;
b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya
1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau
c) atas arahan Pendaftar.
30. Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan
dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh
penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar,
mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai Mesyuarat Agung
Tergempar hendaklah dikemukakan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7
hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.
31. Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah
dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.
Laporan Mesyuarat
32. Laporan Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama
Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan
Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian,
mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
33. Laporan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah
dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat
Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari
selepas tarikh Mesyuarat.
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
34. Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat
sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.
35. Notis panggilan mesyuarat hendaklah
diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum
tarikh Mesyuarat.
36. Yang Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3
orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG
apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.
37. Setiap anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak
hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan
dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah
mengemukakan notis bertulis kepada anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan
itu dibuat.
Punca-Punca Pendapatan Persatuan
38. Punca-punca pendapatan Persatuan adalah
terdiri daripada;
a) sumbangan anggota Persatuan (anggota
Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);
b) derma dan sumbangan daripada individu,
organisasi dan badan-badan lain;
c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti
dan program anjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar
39. Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di
mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.
40. Apa-apa wang yang diterima atau diperolehi
oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari wang
diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini, Bendahari boleh
menyimpan wang tunai yang tidak melebihi ................................................................................................
pada satu-satu masa.
Perbelanjaan wang Persatuan
41. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk
membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan faedah
kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan
Persatuan.
42. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang
daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangan oleh Bendahari dan Yang
Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.
43. Bendahari dan Yang Di-Pertua hendaklah
memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun Persatuan
sentiasa berbaki kredit.
44. Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1
Januari hingga 31 Disember tahun semasa.
Penyimpanan akaun pendapatan dan
perbelanjaan
45. Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan yang
telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diterima dan diluluskan oleh
anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
46. Satu salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang
telah diaudit serta diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan
hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau
Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana yang berkenaan.
47. Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah,
Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan
memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.
Harta Amanah Persatuan
48. Persatuan tidak boleh memegang apa-apa
harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa
harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan
atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang
diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk
digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang
ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.
49. Apa-apa harta yang diamanahkan kepada
Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali
pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang diperolehi dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.
Pindaan Perlembagaan Persatuan
50. Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan
Persatuan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau
Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.
51. Cadangan pindaan yang hendak dikemukakan
kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan
dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota Persatuan yang
hadir.
52. Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat
kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.
53. Pendaftar berhak meluluskan atau tidak
sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.
Larangan
54. Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang
kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran
dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan
syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.
55. Persatuan bukanlah suatu entiti
undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat kontrak,
perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa
program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan
apa-apa suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk
kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.
56. Persatuan tidak boleh menjadi forum atau
jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan dengan Guru
Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian,
Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau
Kerajaan Persekutuan.
57. Persatuan tidak boleh bergabung dengan
persatuan ibu bapa-guru di sekolah- sekolah lain, parti politik, kesatuan
sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi, pertubuhan atau
persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar di bawah mana-mana
undang-undang bertulis atau tidak.
Tafsiran
58. Sebarang kekeliruan atau pertikaian yang
timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui
Guru Besar atau Pengetua.
Pembubaran
59. Persatuan hanya boleh dibubarkan
dalam keadaan berikut:
a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau
b) Sekolah berhenti beroperasi
60. Apa-apa wang dalam akaun Persatuan hendaklah
digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya
hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan di mana Sekolah
itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan kepada
Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.
61. Guru Besar atau Pengetua hendaklah
memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila Persatuan
dibubarkan.
Perlembagaan Sekolah: PIBG, SK.Melayu Raya,
85000 Segamat
Alamat Sekolah: SK. Melayu Raya, 85000 Segamat
Tandatangan Guru Besar / Pengetua: .............................................................................
Nama Guru Besar / Pengetua: Puan Hajah Napsiah
binti Tahir
Tarikh: 2.2.2008
___________________________________________________________________
Diluluskan oleh:
Pendaftar Sekolah dan Guru
Cop:
Tandatangan:
Nama:
Tarikh:
...................................
|